Jumaat, 22 Mei 2009

Usah Terburu (Muqaddimah)

Wahai Tuhanku!
Bantu dan permudahkan urusanku!


SEKAPUR SIREH

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على المبعوث رحمة للعالمين،
سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد


Sesungguhnya Tuhan telah mentakdirkan bahawa di zaman ini kita dapat menyaksikan ramai di kalangan umat Islam dalam keadaan hina dan merempat. Khilafah Islam dijatuhkan, Syariat Allah dihapuskan, akhlak kian meruncing, musuh-musuh meratah umat Islam di setiap tempat. Malah kita kehilangan segala-galanya lebih daripada seorang anak yatim kehilangan tempat pergantungan?! Tiada kehormatan dan harga diri.

Tidak syak lagi, bahawa dalam situasi pahit yang sedang dialami oleh umat Islam sejak beberapa dekad ini, mewajibkan penganutnya berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan dan pengislahan. Bilamana kehancuran dan kemusnahan yang berlaku begitu dahsyat, maka jihad dan perjuangan untuk mengembalikan kemuliaan umat sudah pastinya lebih besar daripada tanggapan sebahagian kita.

Malangnya, tenaga yang mahu berkorban untuk tujuan tersebut hanyalah segelintir sahaja. Ianya tidak seimbang dengan besarnya kerosakan dan penyelewengan yang sedang dialami, demikian juga jika dibandingkan dengan konspirasi jahat musuh yang sedang berdepan dengan kita siang dan malam. Realiti ini menjadikan bebanan dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh kita semakin berat dan mencabar.

Setiap kali seorang muslim yang peka terhadap agama dan umatnya yang hancur luluh, maka pada ketika itulah perasaan sedih dan kecewa akan menyelubunginya. Rentetan dari itu, mendorongnya untuk mencurahkan segala tenaga dan usahanya menangani persoalan ini. Lantas ia akan memberikan sepenuh tumpuan dan fokusnya terhadap tanggungjawab ini. Seluruh fikiran dan masanya di waktu pagi dan petang dikorbankan kerananya.

Namun, situasi ini kadang-kadang akan membawa kepada unsur-unsur negatif dan bahaya iaitu kealpaan terhadap diri sendiri dan usaha pengislahannya. Waktunya sentiasa penuh dengan kewajipan terhadap orang lain, pemikirannya disibukkan untuk berfikir tentang masyarakat sehinggakan tiada kesempatan baginya untuk mengislahkan dirinya atau meningkatkan ilmu pengetahuannya. Juga tiada ruang baginya untuk membina peribadinya dengan latihan ketaatan terhadap Allah dengan penuh ketulusan dan keikhlasan. Akhirnya, muncullah beberapa kesan yang negatif terhadapnya bahkan juga terhadap persekitaran sasaran dakwahnya.

Bertitik tolak dari sinilah lembaran-lembaran mendatang akan mengetuk kebiasaan yang bahaya ini dan menyeru setiap pendokong panji-panji dakwah supaya beringat terhadap diri mereka dan membuat pertimbangan yang adil antara keperluan memperbaiki diri dan keperluan dakwah anda.

Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah menuju jalan yang benar.

Usah Terburu Saudara Da'ie

Sesuai dengan tema blog ini, saya pastinya akan memulakan bicara dengan mengemukan beberapa peringatan untuk diri saya dan teman-teman khususnya yang bersama dengan gerakan dakwah untuk kita sama-sama bermuhasabah dan mengkoreksi diri sebagai seorang da'ie yang mahu memartabatkan agama Allah di bumi tercinta ini.